Gema Jihad

Tuesday, January 16, 2024

Guru Aini

 Alhamdulillah, selesai baca buku ini.
Sebuah buku yang sarat dengan motivasi untuk terus memotivasikan orang lain.

Matematik adalah subjek yang paling saya minat. Sebab cikgu pertama saya adalah cikgu matematik. Jika mampu putar masa kembali, nak saja sambung belajar dalam bidang Matematik semasa zaman Universiti dulu. Tapi Allah Maha Tahu. Dia lorongkan hati ini untuk menyambung pengajian dalam bidang yang selayaknya.

Pernah juga terdetik rasa terkilan, kenapa lah tidak tekad je ambil jurusan yang kita minat? HikmahNya melebihi dari segala yang kita fikirkan.
Matematik memang menjadi subjek yang ibaratnya bila buka mata saja, segala angka-angka, rumus-rumus berterbangan di akal fikiran.

"Matematik mengajar kita seni kepintaran.."
...Matematik bak jarum di dalam longgokan jerami. Sudah beratus tahun umurnya, Matematik tetap sama, tak bergerak, tak berubah. Tetap Indah mempesona, dan tetap sukar bagi para pemalas."

Antara kenangan Indah antara saya dan Matematik, ketika mendapat markah bagi peperiksaan percubaan SPM, untuk subjek Matematik Tambahan. Cikgu 'terpaling' garang di sekolah tu, panggil nama sambil hulur Skrip jawapan. Tertera markah 69%. Keputusan percubaan SPM sangat penting ketika itu untuk memohon biasiswa. Maka, merayulah kita ni ke cikgu untuk tambah lagi satu markah bagi menukarkan gred B- kepada B+. 

"Awak nak tak saya doakan Awak dapat A+ masa exam sebenar nanti? Saya tak nak bagi sekarang, supaya Awak tak yah selesa sangat." -Cikgu Nisah. 

Dan pada tahun 2010 itulah, Matematik Tambahan benar-benar menjadi kawan baik saya. Cumanya, masa tu sajalah. Merindui zaman-zaman berfikiran genius.. 

Jom baca buku seterusnya!

Sunday, December 17, 2023

BERTENANG


Rasanya, ini je kunci segala masalah.

Tenang dulu. 

Kemudian, tulis. Biar jelas apa yang kita serabutkan, biar nampak apa yang kita cari. Barulah masalah dapat di selesaikan, dengan seminima mungkin elakkan tabung pahala berkurang.

Nampak mudah, tapi kalau senang, tiada beza lah pula martabat iman seseorang kan?

Cerita hari ni, bukan untuk tazkirah tentang sabar.

Sekadar nak menulis tentang peristiwa yang berlaku hari ini untuk renungan di masa akan datang.

Semalam, ada Majlis Graduasi anak berumur 6 tahun. 

"Umi, Fudhayl dapat 2 hadiah. Kenapa Fudhayl dapat 2 umi?"

Ketika ini, takut nak memberikan jawapan, takut terdidik kepada kebendaan.

"Alhamdulillah."

"Lepas ni, kalau ada orang kata, hebatlah Fudhayl dapat hadiah, Fudhayl jawablah..

haza min fadhi rabbi

...

Dalam perjalanan ke sekolah, terdengar DJ bagitahu topik yang sedang dibincangkan:

"Kongsikan hadiah yang paling bermakna yang pernah anda dapat daripada orang tua anda.."

Lantas, otak ini ligat mencari 'apa' hadiah yang pernah mak ayah beri.

Tak jumpa. 

Jika 'apa' yang dicari. Memang tak jumpa. Namun, hadiah yang paling bermakna untuk diri ini, bukanlah benda yang diberi, tetapi segala 

setiap doa,

nasihat,

pengorbanan,

didikan,

kasih sayang..

ini yang paling bermakna.

kerana setiap hadiah ini datang dengan tanggungjawab dan amanah.

...

Tiba di sekolah.

"Banyak pula maklumkan piala patah."

"Patah hati muallimah dengar tau."

Begitulah. 

Kalau ikut rasa hati ni, geram, nak marah, semua adalah. Rasa macam nak hapuskan aje majlis graduasi ke apresiasi ke, segala hal yang menjadi kebendaan lah.

...

Bertenang. 

Bila lihat kepada 3 peristiwa yang berlaku ini, macam ada kaitan dan persamaan. 

Majlis - Hadiah - Didikan - Majlis

Berputar-putar seperti bumi. 

Tenang. Sebab tu dalam usrah, kita diajar untuk perbaharui niat. Jelas tujuan. 

Jelas kenapa majlis diadakan. Untuk raikan murid. Kenapa nak kena raikan, supaya lebih bersemangat untuk menuntut ilmu. Untuk apa bersemangat. Agar tidak sia-sia hidup. Jelas. 

Kita akan jumpa tujuan asal kita. 

Jadi tenang aje lah. Bila ada masalah tu, tenang. 

... 

Alhamdulillah, tenang rasanya bila dapat menulis ni. 

Baik, last2: 

[Surah Al-Isrāʾ: 80]

Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",

Ni doa nak minta bimbingan nak selesaikan masalah. 

Wallahua3lam

Sunday, December 3, 2023

Ujian Sebenar Seorang Guru

 Jika ditanya umum, apalah sangat ujian jadi cikgu ni. Cuti pun banyak. Banyak masa nak healing.

Betullah tu. Menjadi seorang guru, pada pandangan manusia, mungkin, ujian hanya tertumpu kepada 'penat'nya dengan jadual yang padat, lambakan kerja yang melebihi kapasiti masa di sekolah atau ujian melawan hawa nafsu apabila ada Year End Sale!

Apabila tiba di penghujung tahun, inilah ujian sebenar untuk guru-guru. Ujian yang bukan berbentuk materialistik. Setiap kali penutup bagi sesi persekolahan, murid-murid akan di beri anugerah sebagai hasil prestasi sepanjang perjalanan bergelar murid atau pelajar sekolah. 

Jika dulu, penilaian murid di nilai berdasarkan hasil keputusan peperiksaan. Saban tahun, penilaian begini memberi kesan negatif kerana menutup ruang melihat kemenjadian murid secara menyeluruh. Lalu, penilaian kini di nilai dengan pentaksiran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Ujian sebenar bagi seorang pendidik adalah perlu menilai anak didik dan meletakkan mereka dalam anugerah yang selayaknya. Bagaimana hendak menilai jika tidak kenal?

Inilah saat terujinya seorang guru. Ada murid, pada pandangan kita, selayaknya menerima anugerah ini, mungkin, bagi guru lain, sepatutnya anugerah ini. Lalu, yang manakah timbangan yang betul? 

Akui, manusia takkan pernah mampu adil. Tetapi, bukanlah alasan untuk berlepas diri. Maka, kembali lah kita kepada Yang Maha Adil, agar kita sendiri ingat, bahawa setiap tindakan seorang guru, dinilai oleh Yang Maha Adil dalam menilai.

Sekarang ini musim-musim majlis graduasi, konvokesyen dan sebagainya. Betapa sukarnya nak memenuhi hak semua pihak, rakan guru, ibu bapa, malah anak-anak didik sendiri. Semoga kita menjadi pendidik yang mendidik dengan jiwa murobbi. Membuat penilaian untuk anak murid berlandaskan iman dan taqwa. 

Imam Al-Mawardi menyebutkan-

وَمِنْ آدَابِهِمْ: أَنْ يَقْصِدُوا وَجْهَ اللَّهِ بِتَعْلِيمِ مَنْ عَلَّمُوا وَيَطْلُبُوا ثَوَابَهُ بِإِرْشَادِ مَنْ أَرْشَدُوا، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَعْتَاضُوا عَلَيْهِ عِوَضًا، وَلَا يَلْتَمِسُوا عَلَيْهِ رِزْقًا

Maksudnya: “Antara adab-adab guru adalah menjadikan matlamat mendapat keredhaan Allah dengan mengajar sesiapa yang mereka ajar, mengharapkan ganjaran Allah SWT dengan memberi tujuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar tanpa mengharapkan gantian dan tanpa mengharapkan rezeki daripadanya”. 

Semoga para guru dapat melepasi ujian ini dengan baik, berlandaskan amal yang ikhlas dan barokah sepanjang mengenali murid. Umum mengetahui, guru ibarat lilin, namun, dunia sekarang, guru perlu memaknai diri mereka lebih daripada sebatang lilin. 

Sunday, September 23, 2018

Done

Done.

Aku mula pakai tudung,
sejak umur 5 tahun,
Tapi dia, pada usia 50-an,
Baru kenal apa itu aurat. 

Aku mula berpuasa, 
Sejak usiaku 6 tahun.
Ya, puasa penuh,
tidak pernah 'miss'.
Tapi dia baru belajar niat puasa. 

Aku dah khatam al Quran, 
Sejak umur 7 tahun lagi.
Tapi dia, umur 70,
Baru kenal alif, ba, ta. 

Aku yakin, solat tak pernah aku tinggal, 
Sejak umur aku 8 tahun.
Tapi dia, ambil wuduk pun belum 'pass'

Aku bangga, 
Dengan dakwah yang aku buat. 
Tapi dia, diri sendiri belum kuat. 

Aku 'done'.
Menikmati segala amal kebaikan. 

Tapi, 
Aku lupa, 
Aku belum 'done' dengan Tuhan.
Aku lupa, 
Bahawa hidup ini, 
Bukanlah semudah itu. 
Selesai apabila sudah.
'Done'

Sudah menunaikan haji.
Malah berkali-kali umrah.
Sudah menunaikan solat.
Malah banyak kali solat sunat.
Sudah menunaikan zakat.
Malah beribu-ribu sedekah.

Ketahuilah bahawa,
Kehidupan ini bukan setakat
Sudah.
Kehidupan ini hanyalah permulaan.
Permulaan mencari pengakhiran,
'done' setelah bertemu Tuhan. 

Tuesday, January 2, 2018

3 Januari 2018

Assalamualaikum wbt.

Kemaskini paling akhir adalah pada tahun 2015.

Dulu, ketika matlamat masih jelas dan segar, blog dibina untuk menyebarkan islam melalui penulisan. Kini, pelbagai teknologi wujud, menyaingi setiap medium penyebaran sosial yang ada.

Tewas.
Hampir 2 tahun menyepi. Kerana malas menulis. Malas sudah untuk menaip dan memerah setiap idea yang ada. Cukup sekadar berkongsi kata-kata dan buah fikiran di Facebook.

instagram.
Datang melalaikan lagi jiwa daie yang satu ketika dahulu semangat melaungkan itu ini.
Berkongsi segala gambar dengan mudah, sehingga terlupa menjaga pelbagai adat dan syariah.

Fasa.
Perubahan zaman, perubahan masa, perubahan keadaan. mungkin.
Menjadi sebab dan alasan untuk terus mundur dan asyik dengan keindahan dunia.

Hari ini,
terpaku sekali lagi dengan pelbagai isu yang menghujani ummat.
Cukup sekadar terpaku tanpa sempat memikirkan tindakan yang perlu dibuat.

Satu pesan,
teruskan konsisten. Walaupun sedikit, jagalah dan teruskan. "Aku suka amalan yang sedikit tetapi berterusan...", mafhumnya.

Saturday, September 5, 2015

nak CITER pasal KITER

Bismillahi wassalamualaikum wbt.

limaza ibda' bilbasmalah? (nape setiap kali kita (yang usaha nak jadi muslim), akan mula ngan salam setiap kali sebelum nak buat sesuatu?)

Tajdid Niat.
yes, tak der yang lain yang boleh bantu kita untuk kawal gerak amal. =)
#compass setting sikit (sebab fisrt time dengaq pasal term ni, saje nak try n kongsi kat sini)

Nak citer pasal KITER.

Kiter ni mula melakar memorinya pada 3 September 2015 di banyak kayu. Memori dan kenangan ini sayang untuk dibiarkan terapung-apung hanya dalam kotak akal yang tidak menjadi upaya kita menjaganya, kerana ia milik Tuhan. Pengalaman pertama mencari bekalan untuk terus thabat dalam dakwah dan tarbiah di medan sebenar, Malaysia.

Imbas kembali atau bahasa saintifiknya #throwback.
Dulu-dulu, setiap kali balik daripada program-program tarbiah yang memakan masa sampai lewat malam atau mukhayyam contoh terdekatnya, mesti katil yang menjadi tempat membuktikan kesungguhan ana dalam dakwah dan tarbiah. end of throwback. Dan, setiap kali itu juga, ana sentiasa merasakan yang ana tidak layak untuk dakwah ini.

Tapi, tu dulu. bak kata uncle Rachel Wolchin, dalam TheGoodVibe.co

It's not how we make mistakes, but how we correct them that defines us.
Tidur, lesu dan penat selepas satu pengisian atau daurah atau gerak amal adalah satu kesalahan. Adakah setelah apa yang kita dapat, apa yang kita isi dalam jiwa daripada pengisian itu hanya sebagai memenuhi rutin dan masa? ini satu pengajaran ana dapat setelah sedar daripada lena yang nikmat itu.

Namun, tidur itu tidak salah, dan bukan tidur juga menjadi topik dan isu. Tetapi, hammasah itu yang dicari. Jika lena itu hanya untuk mengecas kembali bateri tenaga, rehatlah seketika kerana kita adalah manusia. Jika tidur itu hanya menghasilkan taik mata, tahanlah kantuk seketika kerana syurga tempat rehat yang tersedia.

Kembali kepada citer kiter.
Cerita yang bukan direka, bukan dicipta, cuma, mungkin dicorakkan sedikit dengan kata-kata sebagai perencah rasa. Cerita yang ingin dikongsi pengalaman uniknya.

Petang tiga September dua ribu lima belas.
Bermula pengembaraan ana bersama kiter. Dengan pacuan empat roda, singgah dahulu di rumah kakanda ukhty fihah ditemani ukhty syiqa. Maka kami bertiga.

Kak Fihah, dan Syiqa. Syiqa yang ana terlebih dahulu kenal sebelum Kak Fihah. Perkenalan yang cukup singkat. Hanya tahu nama. Ya, nama panggilan. Berbekalkan ukhuwwah kerana dakwah dan tarbiah, kami saling percaya untuk bersama mengembara menuju hutan banyak kayu.

Tercatat dalam memori, ana mula memandu kereta pukul enam suku petang. Tanpa pengalaman memandu jauh, tanpa pengalaman memandu pada waktu malam, dan paling menarik, langsung tidak tahu jalan untuk ke hutan yang banyak kayu itu, kami redah jua berpetakan google dan bertemankan  waze.

oh ya, yang paling penting juga, kereta yang ana pandu, bukanlah kereta milik sendiri malah, bukan juga milik Kak Fihah atau Syiqa. Milik ukhti Irah. Keizinan dan keihlasannya terzahir apabila dengan sukarela menawarkan keretanya demi akhawat kiter terus bersama dalam perjuangan dakwah.

Memandu pada waktu malam melalui lebuhraya..sangat-sangatlah ana menolak diri awal-awal (tapi terzahir dalam hati je, dengan izin Allah, Allah suntikkan semangat, dan tak jadi nak minta izin ngan murabbi tak nak drive). tapi, serius, inilah pengalaman pertama pandu kereta malam-malam lalu jalan lebuhraya. ala kulli hal, papepun. Alhamdulillah, tiga jam perjalanan, kami sampai di hutan dalam pukul sembilan sepuluh.

Dalam hutan.
Setibanya di hutan yang damai dan sungguh gelap itu, tercari-cari cahaya tempat kiter berkumpul. Dengan tawakal yang tinggi, melalui jalan yang hanya disuluhi cahaya bulan dan lampu kereta, dengan izinnya sampai juga tempat yang dituju. Dan ana, sungguh tidak sabar untuk bertemu seorang ukhti yang dihormati. Murabbi yang pasti.

Niat.
Semangat kaki ana melangkah menuju ke dewan makan untuk bertemu murabbi dan rakan seperjuangan. Pada saat insan yang ana cari sudah ada depan mata, ana sangatlah mengharapkan Kakak Murabbi menggosok-gosok belakang sekurangnya, tanda syukur dan terima kasih kerana mutarabbinya sampai juga setelah susah payah mengharungi samudera kehidupan malam-malam bawa kereta. Dan harapan tinggal impian. 'mungkin Kak Siti banyak benda lagi dia nak pikir, tak sempat kot nak pikir pasal aku' -monolog ukhti yang terlupa tajdid niatnya..

Usai makan dan solat, dengan hati yang teruja (sebab dah lama nak pengisian), tangan siap-siap pegang pen, telinga bersedia nak tadah, kutip bekalan.

Apabila dikatakan tentang dakwah, Imam Hassan Al Banna telah menggariskan beberapa ciri dakwah ikhwan yang ringkas dan tepat untuk kita laksanakan.
Laju tangan menaip setiap patah kata. Sambung penyampai lagi:

Ciri dakwah yang kita imani juga adalah dakwah yang suci dari tujuan dan selain dari keredhaan Allah. Kita berdakwah, bukan untuk dapatkan kepentingan peribadi sedikit pun, hatta sepotong ucapan terima kasih!
Ucapan terima kasih.
Terhenti tangan seketika. Fikiran terus berputar saat awal kaki melangkah tadi. 'AstaghfiruLlah.., aku terlupa tajdid niat!' -monolog ukhti yang baru tersedar.

_______  

Alhamdulillah, dengan izinnya, ana diberi peluang mendapat tarbiah bil ahdath (tarbiah melalui peristiwa) sepanjang di hutan itu, hanya untuk mengutip bekalan dan membina tautan hati dengan rakan seperjuangan melukis garis-garis ukhuwwah, bekalan untuk thabat dan istiqamah.

Ukhuwwah.
Walaupun pada pertemuan yang singkat namun tetap terasa seperti sudah lama membina perkenalan. Namun, masih banyak lagi peristiwa yang pasti dilalui bersama, perlu saling menguatkan, perlu saling mengingatkan.. untuk setiap insan yang bersedia memanggil dirinya sendiri, sebagai ansarullah.

Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu pembela-pembela (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (dalam perjalananku) kepada Allah (dengan menegakkan agamaNya)?" Mereka menjawab: "Kamilah pembela-pembela (agama) Allah!" (Setelah Nabi Isa tidak berada di antara mereka) maka sepuak dari kaum Bani Israil beriman, dan sepuak lagi (tetap) kafir. Lalu Kami berikan pertolongan kepada orang-orang yang beriman untuk mengalahkan musuhnya, maka menjadilah mereka orang-orang yang menang. [61:14]

Perkara ini bukan setakat pengajaran bagi kita, tetapi juga kepada binaan yang kita bina. Supaya seluruh kehidupan dakwah mereka hanyalah untuk mencapai tiga prinsip dakwah terutama: liLlah (kerana Allah), ma3aLlah (bersama Allah), dan illaLlah (kepada Allah). Berdakwah hanya kerana Allah, bersama dengan Allah (dekat dengan Allah) dan menyeru manusia hanya kepada Allah. |MUHARIKAH |DAKWATUNA
Dakwah.
Ayat yang selalu kiter dengar. "Dakwah tak perlukan kita, tetapi kita yang memerlukan dakwah."
Ayat yang tidak pernah kiter dengar, sebab ni ayat ana, :jangan ego tinggi sangat dalam dakwah, nanti kita jugak yang tersipu-sipu mencari dakwah~

Memang, kadang-kadang tu, pernah rasa tak nak gi usrah, sebab usrahmate tak best (padahal kitalah yang asyik duk su'u dzon ngan usrahmate, pastu cakap usrahmate x best). pernah juga selalu tidur dalam daurah, ketepikan muayasyah dengan anak binaan sebab nak baca novel 'Cinta Paling Agung', pernah rasa futur dan merajuk ngan murabbi sebab murabbi dah tak care pasal kita macam murabbi mula-mula kejar kita nak suruh kita masuk usrah.., ada sekali tu, pernah juga buat perangai, tak buat task yang murabbi suruh (sebab rasa diri dah hebat ..kan?)..

perasaan-perasaan ini sebenarnya nak test, nak uji kethabatan kita dalam dakwah ni.

Cane nak buat?
Kadang-kadang jahiliyah tu senang jek kita lawan bagaikan buang sampah yang duk kat tepi tong sampah.
Kadang tu susah dia..macam nak buang chewing gum yang melekat kat rambut. Tapi, yang pasti, kita akan usaha juga nak buang, right?

Effort nak cuci kotoran jahiliyah ni pula tengok tahap mujahadah. nak tahu mujahadah tahap mana, tengok iman. Nak feel iman tu duk tinggi mana, kena cek mutabaah. Simple kan? Tapi macam susah juga..

Jalan ini masih jauh dan memang susah, tapi syurga itu sentiasa dekat dan memang eksklusif untuk mereka yang susah payah usaha nak dapatkannya. Semoga thabat. 

tentang KITER

Wednesday, August 26, 2015

Inspirasi.

Assalamualaikum wbt.
Bismillah.
“Orang-orang yang maju dalam hidup ini adalah orang-orang yang bangkit dan mencari lingkungan yang mereka inginkan, lalu jika mereka tak dapat menemukannya, mereka menciptakannya.” -George Bernanrd Shaw
Pepatah Melayu juga yang tersohor bermain dalam ingatan, "Kehidupan ibarat roda, terkadang di atas, terkadang di bawah." Inilah fenomena yang pasti dihadapi oleh setiap golongan yang bernama manusia. Cuma, terserah kepada tuan punya badan, sama ada sedar atau tidak. Semalam dapat makan aiskrim, hari ini cuma mampu menelan segelas air kosong. Kerana tika di atas, nikmat sihat datang, tika di bawah, nikmat sakit yang ziarah. 
Putaran kehidupan yang biasa. 
Solat, baca Quran, makan, minum, facebooking, instagraming, mandi, tidur.
Menjadi rutin harian. Semalam, hari ini, mungkin esok juga begini. 
"Ibnu 3Aqil tidak suka makan, dan kalau dia makan pun hanya makan makanan yang mudah telan dan dikunyah. Kenapa? Kata Ibnu 3Aqil: 'Aku boleh menghabiskan lima ayat Al Quran untuk roti masuk ke mulutku.'" -Dr. 3A'idh Al Qarni (dalam radio hayatfm)
Pernah dengar kata-kata ini. Tapi, kali ini, sekali lagi diperdengarkan, rasa 'tersentap' itu datang juga. Maka, mulalah siri merancang itu dan ini. Agar masa dijaga persis Ibnu 3Aqil.
dan akhirnya..Tewas..kerana waktu makan tetap juga diisi. 
Perubahan.
Bukan datang dengan sekelip mata, tapi boleh berlaku dan pergi sekelip mata. Harus ada keyakinan dan kesungguhan. 
Inspirasi.
Mencari inspirasi bukanlah satu hal mudah tapi tetap tidak payah. Datang pada saat diperlukan, jika mencari dan membuka seluruh ruang hati menerima kedatangannya. 
Hari ini membaca satu buku, jumpa satu 'quote', cukup memberi satu inspirasi. Sedar bahawa hidup ini bukan untuk memutarkan rutin. Sedar bahawa diri perlu bangkit. Hanya ini rahsia menjadi orang maju dan rutin harian itu hanya menjadi rahsia buat mereka untuk terus mundur.
Ibnu 3Aqil yang bangkit itulah telah pun menghasilkan banyak kitab yang menjadi panduan dan pedoman ramai insan. 
dan dengan satu inspirasi inilah telah berjaya menghasilkan satu post untuk blog ini. Alhamdulillah.
quote yang memberi kesan kepada penulis hasil pembacaan buku 'Rahsia Kekuatan Peribadi' boleh dilihat dalam m/s 55
Kadang-kadang tu, tahu kena bangkit jika jatuh, tahu kena maju untuk islam, kerana kita adalah khalifah. Tahu dan sedar, Tapi apa maknanya sedar tanpa tindakan. 
Tindakan yang tidak perlu terburu-buru. Susun strategi baik-baik, dan insyaAllah anda pasti berjaya bangkit daripada kejatuhan itu persis Sultan Al Fatih menakluk Konstantinopel! Hanya perlukan suntikan inspirasi yang harus anda usaha mencarinya. 
dan..kalau tak jumpa, ciptalah! Macam kata-kata Uncle George. =) 
(p/s: tujuan post ini adalah untuk kembalikan semangat yang tengah mundur dan belum masuk tahap futur)