Jika ditanya umum, apalah sangat ujian jadi cikgu ni. Cuti pun banyak. Banyak masa nak healing.
Betullah tu. Menjadi seorang guru, pada pandangan manusia, mungkin, ujian hanya tertumpu kepada 'penat'nya dengan jadual yang padat, lambakan kerja yang melebihi kapasiti masa di sekolah atau ujian melawan hawa nafsu apabila ada Year End Sale!
Apabila tiba di penghujung tahun, inilah ujian sebenar untuk guru-guru. Ujian yang bukan berbentuk materialistik. Setiap kali penutup bagi sesi persekolahan, murid-murid akan di beri anugerah sebagai hasil prestasi sepanjang perjalanan bergelar murid atau pelajar sekolah.
Jika dulu, penilaian murid di nilai berdasarkan hasil keputusan peperiksaan. Saban tahun, penilaian begini memberi kesan negatif kerana menutup ruang melihat kemenjadian murid secara menyeluruh. Lalu, penilaian kini di nilai dengan pentaksiran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.
Ujian sebenar bagi seorang pendidik adalah perlu menilai anak didik dan meletakkan mereka dalam anugerah yang selayaknya. Bagaimana hendak menilai jika tidak kenal?
Inilah saat terujinya seorang guru. Ada murid, pada pandangan kita, selayaknya menerima anugerah ini, mungkin, bagi guru lain, sepatutnya anugerah ini. Lalu, yang manakah timbangan yang betul?
Akui, manusia takkan pernah mampu adil. Tetapi, bukanlah alasan untuk berlepas diri. Maka, kembali lah kita kepada Yang Maha Adil, agar kita sendiri ingat, bahawa setiap tindakan seorang guru, dinilai oleh Yang Maha Adil dalam menilai.
Sekarang ini musim-musim majlis graduasi, konvokesyen dan sebagainya. Betapa sukarnya nak memenuhi hak semua pihak, rakan guru, ibu bapa, malah anak-anak didik sendiri. Semoga kita menjadi pendidik yang mendidik dengan jiwa murobbi. Membuat penilaian untuk anak murid berlandaskan iman dan taqwa.
Imam Al-Mawardi menyebutkan-
وَمِنْ آدَابِهِمْ: أَنْ يَقْصِدُوا وَجْهَ اللَّهِ بِتَعْلِيمِ مَنْ عَلَّمُوا وَيَطْلُبُوا ثَوَابَهُ بِإِرْشَادِ مَنْ أَرْشَدُوا، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَعْتَاضُوا عَلَيْهِ عِوَضًا، وَلَا يَلْتَمِسُوا عَلَيْهِ رِزْقًا
Maksudnya: “Antara adab-adab guru adalah menjadikan matlamat mendapat keredhaan Allah dengan mengajar sesiapa yang mereka ajar, mengharapkan ganjaran Allah SWT dengan memberi tujuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar tanpa mengharapkan gantian dan tanpa mengharapkan rezeki daripadanya”.
Semoga para guru dapat melepasi ujian ini dengan baik, berlandaskan amal yang ikhlas dan barokah sepanjang mengenali murid. Umum mengetahui, guru ibarat lilin, namun, dunia sekarang, guru perlu memaknai diri mereka lebih daripada sebatang lilin.
No comments:
Post a Comment