Gema Jihad

Sunday, December 17, 2023

BERTENANG


Rasanya, ini je kunci segala masalah.

Tenang dulu. 

Kemudian, tulis. Biar jelas apa yang kita serabutkan, biar nampak apa yang kita cari. Barulah masalah dapat di selesaikan, dengan seminima mungkin elakkan tabung pahala berkurang.

Nampak mudah, tapi kalau senang, tiada beza lah pula martabat iman seseorang kan?

Cerita hari ni, bukan untuk tazkirah tentang sabar.

Sekadar nak menulis tentang peristiwa yang berlaku hari ini untuk renungan di masa akan datang.

Semalam, ada Majlis Graduasi anak berumur 6 tahun. 

"Umi, Fudhayl dapat 2 hadiah. Kenapa Fudhayl dapat 2 umi?"

Ketika ini, takut nak memberikan jawapan, takut terdidik kepada kebendaan.

"Alhamdulillah."

"Lepas ni, kalau ada orang kata, hebatlah Fudhayl dapat hadiah, Fudhayl jawablah..

haza min fadhi rabbi

...

Dalam perjalanan ke sekolah, terdengar DJ bagitahu topik yang sedang dibincangkan:

"Kongsikan hadiah yang paling bermakna yang pernah anda dapat daripada orang tua anda.."

Lantas, otak ini ligat mencari 'apa' hadiah yang pernah mak ayah beri.

Tak jumpa. 

Jika 'apa' yang dicari. Memang tak jumpa. Namun, hadiah yang paling bermakna untuk diri ini, bukanlah benda yang diberi, tetapi segala 

setiap doa,

nasihat,

pengorbanan,

didikan,

kasih sayang..

ini yang paling bermakna.

kerana setiap hadiah ini datang dengan tanggungjawab dan amanah.

...

Tiba di sekolah.

"Banyak pula maklumkan piala patah."

"Patah hati muallimah dengar tau."

Begitulah. 

Kalau ikut rasa hati ni, geram, nak marah, semua adalah. Rasa macam nak hapuskan aje majlis graduasi ke apresiasi ke, segala hal yang menjadi kebendaan lah.

...

Bertenang. 

Bila lihat kepada 3 peristiwa yang berlaku ini, macam ada kaitan dan persamaan. 

Majlis - Hadiah - Didikan - Majlis

Berputar-putar seperti bumi. 

Tenang. Sebab tu dalam usrah, kita diajar untuk perbaharui niat. Jelas tujuan. 

Jelas kenapa majlis diadakan. Untuk raikan murid. Kenapa nak kena raikan, supaya lebih bersemangat untuk menuntut ilmu. Untuk apa bersemangat. Agar tidak sia-sia hidup. Jelas. 

Kita akan jumpa tujuan asal kita. 

Jadi tenang aje lah. Bila ada masalah tu, tenang. 

... 

Alhamdulillah, tenang rasanya bila dapat menulis ni. 

Baik, last2: 

[Surah Al-Isrāʾ: 80]

Dan pohonkanlah (wahai Muhammad, dengan berdoa): "Wahai Tuhanku! Masukkanlah daku ke dalam urusan ugamaku dengan kemasukan yang benar lagi mulia, serta keluarkanlah daku daripadanya dengan cara keluar yang benar lagi mulia; dan berikanlah kepadaku dari sisiMu hujah keterangan serta kekuasaan yang menolongku",

Ni doa nak minta bimbingan nak selesaikan masalah. 

Wallahua3lam

Sunday, December 3, 2023

Ujian Sebenar Seorang Guru

 Jika ditanya umum, apalah sangat ujian jadi cikgu ni. Cuti pun banyak. Banyak masa nak healing.

Betullah tu. Menjadi seorang guru, pada pandangan manusia, mungkin, ujian hanya tertumpu kepada 'penat'nya dengan jadual yang padat, lambakan kerja yang melebihi kapasiti masa di sekolah atau ujian melawan hawa nafsu apabila ada Year End Sale!

Apabila tiba di penghujung tahun, inilah ujian sebenar untuk guru-guru. Ujian yang bukan berbentuk materialistik. Setiap kali penutup bagi sesi persekolahan, murid-murid akan di beri anugerah sebagai hasil prestasi sepanjang perjalanan bergelar murid atau pelajar sekolah. 

Jika dulu, penilaian murid di nilai berdasarkan hasil keputusan peperiksaan. Saban tahun, penilaian begini memberi kesan negatif kerana menutup ruang melihat kemenjadian murid secara menyeluruh. Lalu, penilaian kini di nilai dengan pentaksiran dalam sesi pengajaran dan pembelajaran.

Ujian sebenar bagi seorang pendidik adalah perlu menilai anak didik dan meletakkan mereka dalam anugerah yang selayaknya. Bagaimana hendak menilai jika tidak kenal?

Inilah saat terujinya seorang guru. Ada murid, pada pandangan kita, selayaknya menerima anugerah ini, mungkin, bagi guru lain, sepatutnya anugerah ini. Lalu, yang manakah timbangan yang betul? 

Akui, manusia takkan pernah mampu adil. Tetapi, bukanlah alasan untuk berlepas diri. Maka, kembali lah kita kepada Yang Maha Adil, agar kita sendiri ingat, bahawa setiap tindakan seorang guru, dinilai oleh Yang Maha Adil dalam menilai.

Sekarang ini musim-musim majlis graduasi, konvokesyen dan sebagainya. Betapa sukarnya nak memenuhi hak semua pihak, rakan guru, ibu bapa, malah anak-anak didik sendiri. Semoga kita menjadi pendidik yang mendidik dengan jiwa murobbi. Membuat penilaian untuk anak murid berlandaskan iman dan taqwa. 

Imam Al-Mawardi menyebutkan-

وَمِنْ آدَابِهِمْ: أَنْ يَقْصِدُوا وَجْهَ اللَّهِ بِتَعْلِيمِ مَنْ عَلَّمُوا وَيَطْلُبُوا ثَوَابَهُ بِإِرْشَادِ مَنْ أَرْشَدُوا، مِنْ غَيْرِ أَنْ يَعْتَاضُوا عَلَيْهِ عِوَضًا، وَلَا يَلْتَمِسُوا عَلَيْهِ رِزْقًا

Maksudnya: “Antara adab-adab guru adalah menjadikan matlamat mendapat keredhaan Allah dengan mengajar sesiapa yang mereka ajar, mengharapkan ganjaran Allah SWT dengan memberi tujuk ajar kepada mereka yang diberi tunjuk ajar tanpa mengharapkan gantian dan tanpa mengharapkan rezeki daripadanya”. 

Semoga para guru dapat melepasi ujian ini dengan baik, berlandaskan amal yang ikhlas dan barokah sepanjang mengenali murid. Umum mengetahui, guru ibarat lilin, namun, dunia sekarang, guru perlu memaknai diri mereka lebih daripada sebatang lilin.