Gema Jihad

Monday, January 30, 2012

Jaulah Jelajah Jordan Winter 2012 (2)

selasa 24/01/2012 = 01 Rabi'ul Awwal 1433

Dalam gua al-kahfi (tempat Pemuda-pemuda tidur)
-->Ashabul kahfi merupakan satu kisah benar mengenai beberapa orang pemuda yang tertidur dalam sebuah gua...
Pemuda-pemuda beriman ini hidup pada zaman Raja Diqyanus di Rom, beberapa ratus tahun sebelum diutus Nabi Isa alaihissalam. Mereka hidup dalam masyarakat penyembah berhala yang diperintah oleh seorang raja yang zalim. Demi menjaga Iman, mereka melarikan diri dari kota kerana dikejar oleh tentera raja untuk dibunuh. Maka tibalah mereka di sebuah gua yang akhirnya dijadikan sebagai tempat persembunyian. Bilangan mereka yang sebenar adalah tidak di ketahui. Firman Allah dalam surah al-kahfi ayat 22 yang bermaksud: Mereka mengatakan, "jumlah mereka tiga orang, yang keempat adalah anjingnya, dan yang lain mengatakan, jumlah mereka lima orang, yang keenam adalah anjingnya sebagai tekaan akan sesuatu yang tidak diketahui. dan yang lain lagi mengatakan jumlah mereka tujuh orang yang kelapan adalah anjingnya," katakanlah (Muhammad), "tuhanku lebih mengetahui jumlah mereka, tidak ada yang tahu jumlah mereka kecuali sedikit." Maka janganlah kamu berbahas mengenai mereka kecuali secara zahir dan jangan kamu bertanyakan tentang mereka kepada sesiapa pun.
ashabul bermakna ahli. kahfi bermaksud gua. mereka tidur selama 3 abad atau 309 tahun. ada tiga gua yang dimaksudkan...:
1. Efesus, Turki. (orang Yahudi dan Kristian mempercayainya di sini)
2. Damsyik, Syria.
3. Amman, Jordan. (paling rajih kerena menepati ciri-ciri yang diceritakan dalam Al Quran)

......
Jaulah kami pada hari kedua ini diteruskan menuju ke Mount Nebo
  
sekitar gunung nebo
Pengkaji Barat mendakwa bahawa sejarah Jordan bermula di gunung Nebo. Gunung ini terletak berhampiran Madaba dan didakwa sebagai tempat Nabi Musa alaihissalam dikebumikan. Pada 393M sebuah gereja telah dibina. Memorial dari gangsa berbentuk ular yang meliliti palang salib dibina oleh Gian-Paolo Fantoni of Florence. Ular itu menjadi simbolik kepada ular yang kononnya ditemui di padang pasir dan dipelihara Musa, manakala salib pula simbolik kepada penyaliban Isa yang bertujuan untuk menebus dosa umatnya.

memorial ular melilit palang salib

......
Pada pukul 3.15 petang, jaulah kami seterusnya menuju ke Karak Castle





Karak Castle

Istana Karak ini terkenal semasa Peperangan Salib namun menurut sejarah kota ini pernah menjadi kubu Moab malah telah didiami Kristian sejak sebelum perang Salib lagi . Kota ini juga merupakan bandar bertembok sebagaimana yang dinyatakan dalam Bible malah turut tertera dalam Peta Mozek Madaba . 1142 M , Lord Pagan – Butler telah memindahkan ibu pejabatnya dari Shobak ( Montreal ) ke sini di samping sebuah istana dan penggantinya pula menambah parit dan menara di sini . Kedudukan dan keutuhannya menjadikan Istana Karak ini sebagai kubu pertahanan sisi Timur bagi Kerajaan Latin . Istana ini dikelilingi tebing batuan dari tiga kedudukan . Jelas kelihatan dari sini jalan perdagangan dan laluan haji ke Makkah di Lebuh Raya di-Raja dan berhampiran dengannya adalah Laut Mati serta Jerusalem . Pada 1161 M kota ini dikuasai oleh Reynald Chatillon yang digelar Gajah Masihi dan telah berkahwin dengan Etuenette de Milly . Chatillon dikenali kerana kekejamannya dan dia juga telah memimpin tentera mengalahkan Solahuddin al-Ayubi di Montgisart pada 1177 M seterusnya sering menyerang pedagang Arab yang berlabuh di Laut Merah di samping membina bot-bot yang dihantar ke Aqabah. Pada 1187 M, tentera Solahuddin telah mengepung kota tersebut selama 8 bulan sehingga memaksa tentera pertahanan kota tersebut menjual anak dan isteri mereka untuk makanan . Akhirnya pada 1188 M mereka tewas dan disebabkan kegigihan mereka maka Solahuddin al-Ayubi telah membebaskan mereka . Istana itu kemudiannya diuruskan oleh adik Solahuddin yang telah memperkuat dan mengukuhkan lagi pertahanannya . Kurun ke-13 dan 14 menyaksikan betapa kota tersebut dikemaskini dan diperindahkan struktur dalamannya di bawah pemerintahan Islam . Sultan Baibars telah bertanggungjawab dalam memperdalam parit kota di samping membina monumen di bahagian selatan dan menara bulat dengan simbol singa di tembok timur bandar kota tersebut . Namun gempa bumi pada 1293 M telah memusnahkan kebanyakan besar bahagian kota tersebut .

....
Jelajah Mazar

Maqam Jaafar bin Abi Talib

Maqam Zaid bin Harithah
Sahabat yang ketiga adalah Abdullah bin Rawahah.., ana tak dapat upload gambar Maqam Abdullah bin Rawahah kerana tiba di sana pada waktu malam dan Maqamnya telahpun ditutup.., insyaALLAH, ada rezeki ana akan menziarahi maqam abdullah bin rawahah di masa akan datang..

Zaid bin Harithah

Abu Usama Zaid bin al-Harithah dan merupakan sahabat termuda memeluk Islam selepas Ali . Hamba yang dimerdekakan dan menjadi anak angkat Rasulullah SAW . Menyertai semua peperangan bersama Rasulullah dan dilantik menjadi ketua dalam beberapa ghazwah dan saraya .

Ja’afar bin Abi Talib

Sepupu Rasulullah dan abang sulung kepada Sayyidina Ali . Dari kalangan yang pertama memeluk Islam .Mengetuai hijrah pertama dari Makkah ke Habsyah . Duta Islam yang terkenal dengan uslub dakwahnya dan berjaya mengIslamkan Raja Najasyi . Tangannya terputus semasa peperangan Mu’tah dan Rasulullah bermimpi dia terbang ke syurga . Dia juga digelar sebagai Ja’afar at-Thoyyar .

Abdullah bin Rawwahah

Abdullah Rawahah bin Tha’labah bin Amru Qiys bin Tha’labah adalah cucu kepada penyair Amru Qiys dan mewarisi kebolehannya juga . Penyair Rasulullah bersama Hasan bin Thabit . Syairnya yang bertajuk Arasy Rahman sering diperkatakan dan diperbahaskan oleh para ulamak Tauhid .

Tiga sahabat ini menyertai dalam peperangan Mu'tah

......
Jom kita hayati kisah ini....
PERANG MU'TAH
Perang Muktah berlaku pada bulan Jamadil Awal tahun ke 8 Hijrah (629M) kerana Rasulullah saw hendak membela kematian seorang utusan baginda bernama Harith bin Umair Al Azdi yang dibunuh oleh raja Busro Syurahbil bin Amru Al Ghassani atas arahan Heraklius. Rasulullah saw sangat berduka cita kerana beliaulah satu-satunya utusan baginda yang dibunuh secara khianat kerana mengikut undang-undang yang diterima bersama, seorang utusan tidak boleh dibunuh. Ini adalah maruah Islam. Ini perlu dibela, demi menunjukkan Islam di pihak yang benar. Kalau Perjanjian Hudaibiyah merupakan pendahuluan umrah Qadha hingga membawa kepada Futuh Mekah, perang Muktah ini pula pendahuluan kepada peperangan Tabuk, yang akhirnya membawa kepada pembebasan Syam. Maka Rasulullah saw mempersiapkan pasukan tentera seramai 3000 orang untuk menyerang tentera Rom seramai 100,000 orang yang bergabung dengan tentera-tentera Arab Badwi dan penganut agama kristian di bawah jajahan Rom seramai 100,000 orang. Ertinya 3000 menentang 200,000 orang.
Di dalam peperangan ini, Rasulullah saw tetapkan Saiyidina Zaid bin Harithah sebagai panglima perang dan berpesan: “Jika gugur Zaid, Jaafarlah menggantinya, jika gugur Jaafar, Abdullah Rawahah pula menggantinya, jika Abdullah juga gugur, pilihlah pemimpin di kalangan kamu.” Maka berangkatlah tentera Islam, menuju ke sempadan jajahan Rom hingga sampai ke perkampungan Ma’an (sekarang dalam Negara Jordan), di situ mereka mendapat berita bahawa angkatan tentera Rom berjumlah 200,000 orang sedang menunggu mereka. Tentera Rom ketika itu sudah sampai Balqa’. Maka bermesyuaratlah tentera Islam mengenai strategi mereka. Ada yang berpendapat agar dihantar utusan kepada Rasulullah saw untuk meminta bantuan.
Ketika itulah, Saiyidina Abdullah bin Abu Rawahah, sebagai penyair Rasulullah berperanan memberikan ucapan yang penuh semangat: “Saudara-saudara, apa yang kita tidak suka, itulah yang kita cari sekarang iaitu mati syahid. Kita memerangi musuh bukan kerana kelengkapan, bukan kerana kekuatan juga bukan kerana jumlah tentera yang ramai. Tetapi kita memerangi mereka hanyalah kerana agama ini yang kerananya Allah memuliakan kita. Oleh itu, mari mara ke hadapan. Kita akan memperolehi salah satu dari dua kebaikan: menang atau mati syahid!! Ucapan Abdullah mendorong tentera Islam terus bersemangat berkobar-kobar mengharungi perperangan.
Saiyidina Zaid bin Harithah sebagai panglima perang bertempur dengan gagah berani. Dari lepas Subuh hari pertama hingga hari keenam tentera Islam berjaya dalam setiap serangan. Tentera Rom tidak menyangka sama sekali, dengan bilangan yang sangat kecil, tentera Islam berani memulakan serangan. Ia mengakibatkan kematian yang banyak di pihak musuh malah menggerunkan hati-hati mereka.
Tetapi ketentuan Tuhan pasti berlaku, di hari keenam, tentera Rom membalas serangan. Ketua tentera dan pemegang bendera Islam ini tersungkur ketika panah-panah dan tombak-tombak milik pasukan Rom mulai mengoyak tubuhnya, dan sebelum kematiannya, ia menyerahkan bendera yang dibawanya kepada Saiyidina Jaafar yang berada dekatnya. Pergilah kekasih Rasulullah saw bertemu Kekasih Agung.
Kepimpinan tentera disambung oleh Saiyidina Jaafar yang berwajah tampan ini masih muda, wajahnya dan akhlaknya seperti Rasulullah saw. Belum lama pulang dari berhijrah ke Habsyah, sudah menggalas tugas yang besar. Dengan menunggang kudanya, ia menerobos di tengah-tengah musuh-musuhnya, pedang di tangan kanannya, bendera di tangan kirinya. Namun tidak berapa lama selepas itu, kuda milik Jaafar tersungkur ditusuk tombak musuh lalu Jaafar terjatuh. Satu hayunan pedang menebas tangan kirinya, bermati-matian ia mempertahankan bendera Rasulullah saw yang dibawanya dengan tangan kanan, namun lagi satu tebasan pedang memotong tangan kanannya, lalu ia mengapit bendera tersebut dengan kedua pangkal lengannya, sambil berlari menuju Abdullah bin Rawahah. Saiyidina Jaafar menemui syahidnya dalam keadaan badannya terbelah dua.
Saiyidina Abdullah bin Rawahah menerima bendera yang sudah koyak itu dari Jaafar lalu meneruskan pertempuran hingga ke titisan darah terakhir. Berlakulah janji Rasulullah saw, ketiga-tiga panglima perang ini menemui syahid mereka di Muktah.
Selepas itu bendera itu diambil oleh Thabit bin Al Arqam dari Bani Ajalan, lalu melaungkan: “Wahai kaum muslimin, mari kita pilih calon yang sesuai mengetuai kita.”, kerana beliau tahu ketidak mampuan dirinya memimpin. Maka, akhirnya bendera Islam diserahkan kepada Khalid bin Al Walid, pedang dari pedang-pedang Allah.
Khalid yang menyedari pertempuran berjalan tidak seimbang lalu mengatur strategi. Ketika itu pertempuran hanya berlaku di waktu siang. Di waktu malam, beliau merancang dan menyusun tentera-tentera Islam. Pasukan sayap kanan ditukarkan ke sayap kiri, begitulah sebaliknya. Pasukan belakang, dikehadapankan, begitulah sebaliknya. Di belakang pasukan tentera Islam Khalid letakkan satu pasukan berkuda yang membawa dahan dan ranting kayu, mengheretnya di padang pasir agar timbul debu-debu yang berterbangan. Seolah-olah pasukan bantuan tiba. Ada kumpulan yang bertakbir dan tahlil beramai-ramai untuk menambahkan kegerunan musuh.
Gabungan qiamulail di malam hari, merintih, mengadu pada Tuhan dan strategi peperangan dari seorang yang pakar ternyata berhasil. Bantuan Allah pun sampai. Ketakutan menyelubungi hati tentera-tentera Rom dan arab Badwi. Wajah-wajah yang berperang, sudah berubah. Bukan muka-muka yang mereka lihat sebelum ini. Ditambah dengan debu-debu yang tebal berterbangan di belakang pasukan tentera muslim dan takbir dan tahlil yang bergema hebat, seolah-olah ada bantuan ketenteraan yang sampai. Ia menggentarkan hati tentera. Malah ada ketikanya kuda Saiyidina Khalid sampai berdekatan dengan khemah ketua tentera lalu Rom lalu menarik diri dari medan pertempuran. Bilangan 3000 pun mereka belum berjaya hadapi, betapa lagi kalau bergabung dengan tentera tambahan. Di saat kucar-kacir tentera Rom ini, Saiyidina Khalid mengambil peluang mengundurkan diri, menyelamatkan sahabat-sahabat dari jumlah kematian yang mungkin bertambah.
Perang yang telah berjalan selama seminggu  itu berakhir tanpa ada kemenangan total dari kedua pihak, kaum muslim kehilangan 13 orang tenteranya yang menemui syahid sedangkan di pihak Rom seramai 3350 orang. Tetapi melihatkan angka kematian berbanding jumlah tentera, moralnya Rom kalah dalam pertembungan pertamanya dengan tentera Islam. Satu angka yang ajaib, 200,000 orang menentang 3000 orang hanya membabitkan kematian 12 orang Islam sahaja.

.....
Jaulah pada hari kedua tamat apabila kami selamat tiba di tempat penginapan..
.:Alhamdulillah:.

No comments:

Post a Comment