Pernah juga tertanya, kenapa perkataan pemimpin dalam Bahasa Melayu dieja: K-E-T-U-A. Tapi dah menjadi adat resam kita pun, usia seseorang itu melayakkan mereka untuk menjadi ketua kerana 'senioriti'. Lagipun, kalau pemimpin tu kita eja K-E-M-U-D-A, mesti dalam bayangan kita, budak mentah!
Berbalik kepada persoalan tadi, nak hormat ketua ni kerana usia atau kepimpinan yang ada pada seorang ketua? Pernah dengar tak slogan ni: "Hormati yang tua, sayangi yang muda." Slogan ni nak mengajar kita supaya kita hormat orang yang lebih tua daripada kita, dan sebaliknya, jika kita pula yang lebih tua, kenalah sayangi yang muda. Kalau prinsip ini difahami dengan betul oleh semua ahli dalam sesebuah kumpulan, maka, akan wujudlah suasana yang harmoni kerana adanya saling menghormati antara satu sama lain. Tapi, realitinya tidak begini kalau dalam konteks kepimpinan. Adakah umur menjadi asas untuk melantik atau mengekalkan seseorang sebagai ketua, sedangkan kredibiliti, kecekapan atau amanah diabaikan?
Terkesan dengan satu pengisian ni, tentang bagaimana Rasulullah nak didik kita dalam bab nak lantik atau nak pilih ketua. Orang Arab Quraisy sangat menjaga hierarki mereka dalam organisasi. Lagi berusia orang tu, lagi layak untuk jadi ketua. Jadi, pada zaman Rasulullah SAW, baginda nak ubah adat begini. Bukan nak kata orang tua tak layak jadi ketua, lalu sukar nak dapat penghormatan tu. Tetapi, kredibiliti perlu menjadi keutamaan juga dalam memilih seseorang untuk menjadi ketua. Kredebiliti ni penting kerana melibatkan amanah, kepakaran dan kemampuan membuat keputusan yang betul demi kemaslahatan dalam sesebuah institusi atau organisasi.
Rujuk balik contoh dalam seerah. Pelantikan Usamah bin Zaid sebagai ketua angkatan tentera oleh Rasulullah walaupun beliau masih muda masa tu. Dan keputusan ini diterima dengan baik ke? Mestilah dapat tentangan, tetapi Rasulullah pertahankan juga sebab Rasulullah nak kita faham nilai yang perlu ada pada seorang pemimpin.
Kesimpulannya, nak pilih ketua, kena lihat pada sudut kebolehan atau kemampuan seseorang itu menggalas tanggungjawab. Menjadi bonus kepada kita jika ketua yang kita pilih adalah yang lebih senior dan menunjukkan kredibiliti yang mampan kerana pengalaman seseorang memang mahal. Tambahan lagi, tiada isu nak hormat sebab memang ketua kita tu dah 'tua'. Tapi, nilai tersiratnya, ketua kena sedarlah, bahawa jika dia dilantik menjadi ketua, mesti menjaga kredibiliti yang diharapkan daripada ahli yang melantik. Tetiba rasa macam nak tukar slogan: Hormat semua orang, sayangi semua orang. Tak kisahlah kita di tempat atasan atau bawahan, ataupun kita lebih senior atau junior, hatta, kita generasi baby boomer, gen x atau gen z ke gen alpha ke. Apa yang penting, kerjasama! Ha, gen z mesti tak pernah dengar slogan ni kan?
Agak-agak, siapa yang paling tua antara tiga ni?
No comments:
Post a Comment